Daftar Masuk
Iklan

 

 

 
Menu Utama
Muka Depan
Berita
Pengumuman
Hebahan
Info PERSAMA
Mengenai Persatuan
Ahli Jawatankuasa
Senarai Ahli Institusi PERSAMA 2012
Pendaftaran Ahli PERSAMA
Warkah Berita PERSAMA
Senarai Ahli PERSAMA Seumur Hidup
Kemaskini Maklumat Pengguna
Info OMK 2014
Surat Hebahan OMK 2014
Borang Bayaran OMK
Info OMK
Keputusan 2013
Keputusan Terdahulu
Contoh Soalan - OMK 2010
Contoh Soalan - OMK 2011



 
Kem Kecemerlangan Matematik PERSAMA-UTM JB 2011
Friday, 28 October 2011
Kem Matematik adalah salah satu program khidmat masyarakat Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) yang melibatkan pelajar “galus” (antara gagal dan lulus bagi subjek matematik) dari sekolah-sekolah  rendah di kawasan desa di seluruh Malaysia. 

Objektif utama program ini ialah untuk mencetus kesedaran akan peranan matematik dalam kehidupan seharian, membentuk daya keyakinan dan motivasi matematik di kalangan pelajar desa, merangsang daya pemikiran dan kebolehan matematik pelajar desa dan mempertingkatkan penghayatan matematik pelajar desa. Program ini mengandungi pelbagai pengisian termasuk ceramah motivasi. Ia juga menyediakan suatu wadah yang memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti matematik yang menyeronokkan.
 
 
Kem Matematik yang pertama sekali telah dianjurkan bersama oleh semua Ahli Majlis PERSAMA di Jelai, Negeri Sembilan pada tahun 2006. Ini diikuti dengan Kem Matematik anjuran UiTM di Jengka, Pahang pada tahun 2008 dan yang akhir sekali anjuran USM di Pokok Sena, Kedah pada tahun 2008. Kali ini, pihak PERSAMA telah mengamanahkan UTM JB pula untuk mengendalikan kem yang seterusnya.

Pada 23 & 24 April 2011, bermula jam 8 pagi hingga 5:30 petang, kem yang dinamakan “Kem Kecemerlangan Matematik PERSAMA-UTMJB 2011” anjuran PERSAMA dengan kerjasama Jabatan Matematik, Fakulti Sains, UTMJB dan Peladang Nita PPK Pontian Timur telah dijalankan dengan jayanya di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, Johor.

Program ini dikendalikan oleh Prof Madya Dr Nor Haniza Sarmin sebagai Penyelaras Kem, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kem Matematik di peringkat Jabatan Matematik, UTMJB, dibantu oleh pemudahcara dari Jabatan Matematik iaitu Dr Nor Muhainiah Mohd Ali, En Taufiq Khairi Ahmad Khairuddin, En Adrian Syah Halifi dan En Ariff Admon. Program ini turut dibantu oleh 40 orang fasilitator yang dipilih dari kalangan mahasiswa pasca-ijazah di Jabatan Matematik, Fakulti Sains.

Kem Kecemerlangan Matematik ini telah memberikan pengalaman berharga kepada fasilitator dan peserta kem. Pelbagai aktiviti yang menarik telah dijalankan di sepanjang kem tersebut. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah sesi suai kenal, ceramah matematik, “rekreasi matematik”, “burumatik” (ala “treasure hunt”), aktiviti pentas, miniolimpiad dan “rekacipta matematik”.  

Peserta Kem ini terdiri daripada 192 orang pelajar Tahun 4 dan 5 dari tujuh buah sekolah rendah di kawasan desa dalam daerah Pekan Nenas. Pelajar-pelajar ini telah dibahagikan kepada 20 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada 9-10 orang. Setiap kumpulan dikawal selia oleh dua orang fasilitator kem dan setiap aktiviti dikendalikan oleh AJK dari bahagian masing-masing.

Kumpulan-kumpulan kecil tersebut telah dibahagikan mengikut keputusan markah matematik pelajar, iaitu dalam satu kumpulan terdiri daripada pelajar yang tahapnya lebih baik hingga ke tahap lemah, dan dari sekolah yang berbeza. Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berasaskan kerjasama dalam kumpulan. Selain daripada menarik minat peserta terhadap matematik, program ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam diri peserta.

Dalam sesi “rekreasi matematik”, pelajar dilatih untuk membiasakan diri dengan nombor, bentuk geometri (tangram) dan sebagainya. Kemahiran yang perlu digunakan adalah kemahiran Penyelesaian Masalah (Kaedah Cuba Jaya). Bagi aktiviti burumatik pula berunsurkan “treasure hunt” tetapi melibatkan teka-teki dan soalan-soalan matematik.  
Selain itu, persembahan pentas turut diadakan bagi menarik minat pelajar. Pelajar-pelajar dari dua kumpulan digabungkan untuk membuat persembahan dalam bentuk nyanyian, sajak atau pantun berteraskan matematik. Di samping itu, terdapat aktiviti miniolimpiad yang merupakan pertandingan berbentuk kuiz matematik. Soalan-soalan terdiri daripada soalan yang mudah, sederhana dan sukar agar dapat menjana minda pelajar untuk lebih meminati subjek matematik.

Satu sesi ceramah bertajuk “Cemerlang Matematik” telah diadakan. Ceramah ini dikendalikan oleh Dr Johari bin Surif, dari Jabatan Pendidikan Sains dan Matematik, Fakulti Pendidikan, UTMJB. Ceramah ini telah memperlihatkan kepada para pelajar bahawa kehidupan seharian mereka dikelilingi dengan unsur-unsur matematik. Contoh-contoh yang melibatkan sukatan, ukuran, anggaran dan sebagainya telah digunakan. Ceramah amat menarik kerana telah diselitkan dengan animasi dan persembahan multi-media.

Di samping itu, aktiviti rekacipta telah diadakan dengan menggunakan barangan terpakai dan bahan-bahan yang disediakan. Setiap kumpulan dilengkapi dengan beberapa objek asas matematik. Seterusnya berdasarkan kreativiti masing-masing, setiap kumpulan diminta menghasilkan objek tertentu berdasarkan objek asas yang disediakan itu.

Perasmian dan penutup majlis Kem Kecemerlangan Matematik telah disempurnakan oleh wakil YBhg Dato’ Hj Jefridin Bin Hj Atan, Pegawai Khas kepada Tun Abdullah bin Ahmad Badawi. Penyampaian hadiah kepada pemenang keseluruhan pertandingan aktiviti-aktiviti matematik dan penyampaian sijil kepada fasilitator dan murid-murid juga diadakan pada sesi penutup. Majlis penutup telah diakhiri dengan nyanyian lagu “Gemuruh” (nyanyian asal oleh Faizal Tahir) bersama-sama.

Pihak perasmi dan pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Pontian amat berterima kasih di atas penganjuran kem yang amat baik ini dan mengharapkan yang kem atau aktiviti seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Saya sebagai Penyelaras Kem ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas penglibatan staf dan pelajar di Jabatan Matematik sebelum dan semasa kem ini berlangsung. Juga kepada Jabatan Matematik, UTM dan pihak PERSAMA yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menyelaraskan kem ini.

Laporan disediakan oleh :
Prof Madya Dr Nor Haniza Sarmin
Penyelaras & Pengerusi Jawatankuasa
Kem Kecemerlangan Matematik PERSAMA-UTMJB 2011
Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus memampukan JavaScript untuk melihatnya
 
< Sebelumnya   Berikutnya >
a site by Aidan    
admin

© 2007 PERSAMA